Sabtu, 21 Januari 2012

Morib



Tiba-tiba terasa hendak ke pantai dan teringat papan tanda arah ke Morib semasa ke Shah alam baru-baru ini. Selepas bersarapan pagi, motor dicuci. Minyak 2T masih banyak lagi, coolen beberapa mililiter menghampiri garis LOW (cukup), minyak petrol cukup untuk sampai ke stesen petrol terdekat & rantai masih berminyak.

Bertolak dari USJ 6 pada pukul 10 pagi dengan motor Kawasaki KRR ZX150, saya terus menghala ke Shah Alam. Saya cuma mengikut arah papantanda ke Banting, Morib dan Pantai Morib. Mengikut Google Maps, jarak perjalanan lebih kurang 56km. Tetapi tidak pula saya perhatikan pada meter perjalanan nombornya.

Nampak sahaja gerbang Selamat Datang ke Pantai Morib, terus saya berhenti dan mengambil gambar. Jam menunjukkan telah hampir jam 12 petang. Setelah meletakkan dan mengunci motosikal, saya berjalan-jalan sekitar pantai.




Pada pandangan peribadi, bahagian kiri pantai agak tidak terjaga kerana kelihatan sampah di merata-rata tempat. Semasa saya sampai, air masih belum pasang lagi, jadi pada bahagian pantai boleh nampak beberapa penduduk tempatan sedang mengutip kerang-kerangan.



Saya ternampak sekumpulan kera di pagar dan pokok-pokok berhampiran. Apabila saya cuba mengambil video anak-anak kera tersebut, seekor kera dewasa cuba mengusir saya. Namun apabila disergah, cepat pula ia mengundurkan diri.




Bermain layang-layang dan menunggang basikal sambil dipuput angin pantai nampak seperti sesuatu yang menarik untuk dicuba jika datang secara berkumpulan.


Sepanjang saya berjalan di kawasan berdekatan pantai, saya dapati terdapat beberapa fasiliti seperti surau, kafe, taman permainan kanak-kanak & kawasan meletak kenderaan tersedia disini. Ada beberapa khemah tempat menjual cenderamata dan makanan berdekatan surau.









Selepas mencuba rojak buah yang terlebih mentimun dan segelas kopi o, saya menunggu hingga jam menunjukkan 1.30 petang dan terus ke surau. Setelah solat zuhur, saya pun bertolak pulang ke USJ 6. Saya sampai ke rumah dalam pukul 3 petang.

Seronok juga ke pantai secara solo. Ke mana selepas ini?

1 ulasan:

  1. Salam bro.
    nk tanya. sepanjang perjalanan, banyak stesen minyak x..?? sy merancang utk ke sana menaiki yamaha y15zr. Apa pendapat bro..?

    BalasPadam