Sabtu, 28 Januari 2012

Port Dickson


Kali terakhir saya ke Pantai Bagan Pinang, Port Dickson adalah ketika berusia 3 tahun bersama keluarga. Kali ini saya kembali ke pantai yang sama dengan motor Kawasaki KRR ZX150 saya.

Saya bertolak dari Taman Equine, Seri Kembangan sekitar jam 10.30 pagi menghala ke Kajang dari Putrajaya, terus ke Seremban dan Port Dickson. Di Port Dickson saya mengikut tanda arah ke "Pantai-Pantai Peranginan" dan sampai ke Bagan Pinang.



Sampai sahaja di sana, saya meletakkan motosikal di kawasan meletak motosikal Medan Selera Bagan Pinang. Disebabkan saya belum lagi bersarapan dan jam telah menunjukkan hampir jam 12.00 petang, saya menghampiri kedai makan yang pertama di sebelah kiri. Saya mengambil nasi putih, ayam goreng dan sedikit kuah asam pedas. Kuah asam pedas tersebut sangat sedap sehingga hampir separuh dari nasi dimakan hanya dengan kuah tersebut. Kakak yang berniaga di kedai tersebut juga sangat ramah, seolah-olah beliau menikmati tiap saat dari perkerjaannya. Sambil menjamah hidangan, saya juga dapat menikmati pemandangan pantai dari medan selera tersebut.


Setelah kenyang, saya pun berjalan-jalan disekitar pantai. Berbanding dengan Morib, Bagan Pinang seolah-olah 'hidup' dengan aktiviti nelayan.


Terdapat kawasan perkhemahan serta bot dan kanu kelihatan berdekatan pantai. Tidak pula saya pastikan sama ada boleh disewa ataupun tidak.



Juga kelihatan berdekatan dengan pantai sebuah rumah banglo milik keluarga singh (terdapat simbol agama mereka pada gril).


Sesudah hilang penat menunggang motosikal, saya pun pulang ke Beranang sekitar jam 1.00 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan